KOTA KINABALU, 19 Sept – Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu telah menahan sebuah pam bot kerana melakukan aktiviti menangkap ikan menggunkan bahan letupan di kawasan barat daya Pelantar Minyak St Joseph, semalam.
Pegawai Pemerintah, Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Roslan Awang berkata, anggotanya turut menahan 2 orang lelaki berumur 39 tahun dalam operasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bot tersebut mendapati beberapa peralatan yang disyaki digunakan bagi aktiviti pengeboman ikan dan juga pelbagai jenis ikan sebanyak lebih kurang 50 kilogram,
“Turut dijumpai dalam pump bot adalah beberapa botol berisi butiran berwarna putih dipercayai baja Ammonia Nitrat dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM8,762.00,
Roslan berkata, tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Manakala, kes disiasat dibawah Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan agar masyarakat persisir pantai dan maritim untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pasukan keselamatan bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan serta keselamatan negara.-airtimes.my