[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=rufi2waWpMc[/embedyt]
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mencapai usia 88 tahun semenjak penubuhannya. Peranan pasukan pertahanan ini dalam lipatan sejarah negara tidak dapat dinafikan baik di tanah air mahupun di persada dunia.
Halatuju ATM merupakan pemacu kepada arah perjalanan kepada pasukan ini untuk terus berbakti kepada negara.
Dalam wawancara khas bersempena Hari ATM ke-88, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan halatuju dan strategi pertahanan merupakan perkara yang besar.
“Untuk menentukan negara kita selamat dan stabil, banyak pendekatan-pendekatan besar perlu dilakukan,
“Antaranya pendekatan konteks diplomasi di mana kita berkawan kepada semua dan tidak bermusuh dengan sesiapa,” katanya.
Diplomasi dan keupayaan pertahanan perlu seiring
Menurut Panglima Angkatan Tentera, diplomasi merupakan salah satu cara bagi memastikan Malaysia berada dalam kedudukan berkelebihan (advantage position) jika sesuatu perkara berlaku.
Namun, beliau turut menegaskan diplomasi perlu bergerak seiring dengan keupayaan pertahanan.
“Seperti orang kata, a diplomacy will not work if we don’t have big stick – maksudnya kita perlu ada kekuatan pertahanan untuk pertahankan hak kita,
“Kita perlu mempunyai kekuatan untuk bertindak balas jika berlaku sesuatu yang tidak diingini,” jelasnya.
Kata Affendi lagi, kesemua perkara ini adalah bersandarkan keupayaan dan memerlukan pendekatan jangka pendek serta jangka panjang.
Ini terutamanya bagi mempertingkatkan tahap kesiagaan ATM dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman.
“Kita perlu melihat serta peka kepada perubahan dalam lanskap geo-strategik dimana respon ATM adalah terhadap ancaman ‘traditional’ serta ‘non-traditional’
“Untuk meningkatkan kesiagaan dalam menangani kedua-dua bentuk ancaman ini, ATM kini sedang mengorak langkah ke arah mewujudkan kemampuan sebagai sebuah Angkatan Masa Hadapan (Future Force) sepertimana hasrat serta niat yang ingin dicapai oleh Kertas Putih Pertahanan (KPP),” ujar beliau.
Menjadikan ATM sebagai angkatan yang kredibel
Setelah 88 tahun penubuhannya, ATM kini berdiri setanding dengan tentera negara-negara lain dan menjadi antara angkatan tentera yang disegani di rantau ini.
Tambahnya, perancangan pembangunan ATM perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan matlamat tersebut berjaya dicapai.
“Adalah penting supaya perancangan pembangunan ATM sentiasa dilaksanakan secara berterusan,” kata Affendi.
Beliau menambah, setiap aset pertahanan yang dimiliki oleh ATM hendaklah sentiasa berfungsi.
Namun, Panglima Angkatan Tentera tidak menolak bahawa aset-aset pertahanan sedia ada perlu digantikan pada suatu masa nanti.
“Disebabkan perubahan teknologi, barang kita ada semakin tua, semakin usang – sampai satu tahap di mana ia tidak akan berfungsi dengan efektif,
“Pada waktu itu, kita perlu menggantikan aset tersebut,” tegasnya. – airtimes.my
Bersambung….
Ikuti sambungan siri artikel wawancara khas Panglima Angkatan Tentera di portal Air Times pada tengah hari esok.