CANBERRA, 17 Sept – Penubuhan kerjasama keselamatan baharu antara Australia dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom telah membawa era baharu tentera laut negara itu.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison mengumumkan Australia akan menerima sekurang-kurangnya 8 buah kapal selam berkuasa nukelar melalui rangka kerjasama AUKUS.
“Melalui kerjasama ini, Australia dan negara anggota yang lain akan berkongsi maklumat dan teknologi dengan lebih mendalam,
“Pada masa yang sama, ia akan membentuk satu rangkaian integrasi pengetahuan sains, teknologi, industri dan bekalan yang berkaitan dengan pertahanan serta keselamatan,” kata Morrison dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertahanan Australia.
Menurut kenyataan itu, perolehan kapal selam berkuasa nuklear merupakan inisiatif pertama di bawah kerjasama AUKUS.
“Perolehan ini akan membuka lembaran baharu dalam sejarah Tentera Laut Diraja Australia.
“Kapal selam berkuasa nuklear mempunyai kapasiti persenjataan yang lebih banyak dan moden bagi mempertahankan Asutralia,” kata kenyataan itu.
Tegasnya, Australia tidak akan melakukan perolehan senjata nuklear.
Pada masa yang sama, rancangan Canberra untuk memperolehi kapal selam kelas Attack dibatalkan.
Melalui inisitatif ini, United Kingdom dan Amerika Syarikat akan membantu Australia untuk membentuk ketumbukan kapal selam berkuasa nuklear untuk Australia dalam tempoh 18 bulan. – airtimes.my