GEORGETOWN, 17 Sept – Proses pembinaan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibina di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi membantu fasiliti perubatan COVID-19 di negeri ini telah dimulakan pada Khamis.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, hospital medan tersebut akan dilengkapi katil unit rawatan rapi (ICU), katil wad biasa serta sumber oksigen bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberikan rawatan kepada pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 di negeri berkenaan.
“Kerja-kerja pembinaan Hospital Medan ATM di tapak parkir Hospital Pulau Pinang sudah dimulakan seperti yang saya umumkan 13 September lepas,
“Insyaallah, akan mula operasi hujung minggu ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi miliknya, hari ini.
Terdahulu, Pegawai Memerintah, Batalion Kedua Perubatan ATM (2 Ubat), Leftenan Kolonel Dr. Zamri Derahman berkata, operasi pembinaannya di pekarangan HPP itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 hari dan sesi ujian penuh (dry run) dijangka pada Khamis depan.
“Hospital Medan yang seluas 2,300 meter persegi ini akan dilengkapkan dengan 4 ICU dan 96 katil wad yang dilengkapi sumber oksigen,
“Hospital Medan ini sesuai untuk merawat pesakit COVID-19 yang berada dalam tahap 4 dan 5,” katanya, semalam.
Zamri turut menjelaskan, seramai 22 anggota dan 2 pegawai perubatan serta pasukan perubatan KKM akan diaturgerakkan untuk pengoperasian hospital medan ini. -airtimes.my