Home Pertahanan dan Keselamatan APMM rampas 14 bubu naga di perairan Pulau Pinang

APMM rampas 14 bubu naga di perairan Pulau Pinang

by Air Times News Network

GEORGETOWN, 17 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berjaya merampas 14 set bubu naga di 2 lokasi sekitar 1.0 batu nautika barat laut Sungai Air Hitam, semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, rampasan ini dibuat berikutan pengesanan yang dibuat semasa rondaan rutin Operasi Benteng Laut dan Operasi Pertiwi di perairan Pulau Pinang jam 5.20 petang.

“Pemeriksaan di kedua-dua lokasi semasa rondaan telah menemukan sejumlah 14 set bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM1,860 dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,

“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain, terutamanya nelayan tradisional pesisir pantai,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.

Menurut Abd Razak, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan,

“APMM akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes serta jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply