[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=LYQhFqfrwCE[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 16 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 bermatlamat untuk memulihkan semangat rakyat Malaysia yang terkesan akibat wabak COVID-19.
Beliau dalam satu wawancara khas berkata, semangat di kalangan rakyat boleh dipulihkan dengan mesej bahawa ATM merupakan satu ketumbukan yang sentiasa bersedia pada setiap masa walaupun di waktu pandemik.
“Apa yang diperlukan adalah untuk menaikkan semula semangat mereka. ATM boleh memainkan peranan ini dengan menunjukkan ia sebagai satu ketumbukan yang sentiasa bersedia demi rakyat,
“Ini adalah satu cara untuk membawa semangat rakyat kita,” katanya.
Affendi menjelaskan, pandemik COVID-19 memberikan banyak kesan kepada rakyat dari pelbagai sudut.
“Selain menyebabkan orang menjadi sakit, COVID-19 turut memberi impak dari segi kewangan dan juga psikologi di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Tegas Panglima Angkatan Tentera dalam wawancara khas sempena Hari ATM ke-88, sambutan yang diadakan di Port Dickson akan disiarkan secara langsung untuk tatapan rakyat.
Tambahnya, ini merupakan salah satu peranan yang boleh diisi oleh ATM kepada rakyat ketika negara memasuki tahun kedua wabak pandemik.
Jelas Affendi, sambutan ini turut memberi penghargaan dan mengingati pengorbanan para perajurit terdahulu dalam menjaga keamanan negara.
Menurutnya lagi, ianya merupakan satu pengisian penting kerana pengorbanan para pahlawan terdahulu telah membawa kepada kedaulatan dan keamanan yang dikecapi pada hari ini.
“Antara perkara yang penting adalah untuk kita mengingati semula dan memberi penghormatan kepada anggota tentera yang berkorban untuk negara,
“Para perajurit terdahulu telah berkorban bagi memastikan kedaulatan dan keamanan Malaysia dapat dikecapi oleh rakyat pada hari ini,
“Kita juga memperlihatkan bahawa betapa suci dan pentingnya pengorbanan para anggota tentera kepada rakyat,
“Secara langsung, ini memberi mesej bahawa pengorbanan mereka tidak sia-sia,” ujarnya.
Sambutan Hari ATM ke-88 yang bertemakan “Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama” diadakan di Kem Segenting, Port Dickson pada hari ini.
Acara ini melibatkan Segmen Demonstrasi Keupayaan Aset dan Kompetensi ATM serta Perbarisan Tempur.
Walaupun tidak melibatkan kehadiran orang awam sebagai penonton, sambutan ini akan disiarkan secara langsung ke seluruh negara. – airtimes.my
Ikuti siri artikel wawancara khas bersama Panglima Angkatan Tentera sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-88 di Portal Air Times News Network mulai tengah hari esok.