AMSTERDAM, 15 Sept – Pertubuhan hidupan maritim antarabangsa, Sea Shepherd mengesahkan hampir 1,500 ekor ikan lumba-lumba telah dibunuh dalam satu pemburuan terbesar yang berlaku di Atlantik utara.
Menurut pertubuhan itu dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku di kawasan Pulau Eysturoy, kira-kira 690 kilometer tenggara Iceland.
Sea Shepherd telah memperjuangkan usaha untuk membasmi pemburuan ikan lumba-lumba yang disebut sebagai The Grind (grindadrap) semenjak 1980-an.
Menurut pertubuhan itu, daging ikan lumba-lumba yang diburu akan diagihkan kepada para pemburu yang terlibat.
“Lebihan daging akan diberikan kepada penduduk setempat dan agensi kerajaan. Namun, pemburuan terbaharu ini menunjukkan jumlah daging ikan lumba-lumba yang diperolehi adalah terlalu banyak dari keperluan,” tegasnya.
Tambahnya, beberapa imej yang dikongsikan oleh penduduk tempatan kepada pertubuhan itu menunjukkan tahap pemburuan yang melampaui batas.
“Gambar yang dikongsikan oleh penduduk menunjukkan ada di antara ikan lumba-lumba tersebut telah dilanggar dengan menggunakan bot,” katanya.3
Sementara itu, penduduk Kepulauan Faroe termasuk pertubuhan nelayan yang mempertahankan tradisi The Grind turut mengutuk pemburuan terbabit sebagai keterlaluan dan melampaui batas.
“Ia satu perkara yang begitu teruk dan saya malu untuk mengaku sebagai penduduk Faroe,” kata Kringvarp Føroya, juruhebah tempatan.
Pengerusi pertubuhan Grind tempatan, Heri Petersen menegaskan pemburuan secara keterlaluan tersebut sebagai satu pembunuhan dan penyeksaan kepada ikan lumba-lumba.
“Saya terkejut dengan apa yang berlaku. Ikan lumba-lumba telah diburu dan dihalau ke perairan cetek dalam satu jangkamasa yang lama sebelum dibunuh,” katanya kepada agensi media tempatan Faroe.
Pada 12 September lalu, sebanyak 1,428 ekor ikan Lumba-lumba sisi putih Atlantik (Atlantic White-Sided Dolphin) telah diburu oleh kumpulan nelayan tempatan melalui tradisi The Grind.
Kumpulan ikan terbabit dikepung dan dihalau ke kawasan perairan cetek dengan menggunakan bot dan jet ski.
Walaupun tidak diancam kepupusan, ikan lumba-lumba terbabit dilindungi oleh perjanjian pelindungan hidupan laut kecil, ASCOBANS, yang disertai oleh Kesatuan Eropah dan Rusia. – airtimes.my