Home Teknologi Pertahanan BM-21 Grad: Hujan besi Soviet dari era 1960-an

BM-21 Grad: Hujan besi Soviet dari era 1960-an

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=xwR7XnTCcdA[/embedyt]

Nama Grad mungkin agak asing bagi kita semua. Ini kerana kita seringkali didedahkan penggunaan nama Katyusha yang merujuk kepada serangan roket yang dilancarkan terhadap Israel – baik dari Hezbullah mahupun Hamas di Gaza.

Gelaran Katyusha sudah lama bertapak dalam sejarah dunia kerana peranan pelancar roket berganda tersebut semasa era Perang Dunia Ke-2. Maka, tidak hairanlah nama ini masih kekal digunakan oleh sesetengah pihak untuk mengelar trak pelancar roket berganda dari Rusia.

DTI-2 milik Thailand menggunakan pelancar roket berganda BM-21 yang dibangunkan oleh China.

Hakikatnya, Katyusha adalah merujuk kepada kenderaan tempur BM-8, BM-13 dan BM-31. Kenderaan yang sama turut digelar sebagai Stalin’s Organ. Organ yang dimaksudkan bukanlah bahagian tubuh tetapi alat musik yang seakan piano yang menggunakan tekanan angin.

Selain Katyusha, Soviet menghasilkan pelbagai trak pelancar berganda bagi memperkuatkan serangan mereka terhadap Jerman.

Sebaik sahaja Perang Dunia Ke-2 tamat, pembangunan sistem persenjataan ini diteruskan dengan penghasilan pelbagai jenis pelancar. Peranan Katyusha  kemudiannya digantikan oleh pelbagai varian kenderaan tempur ini termasuklah BM-14 dan BM-21.

BM-21 merupakan antara pelancar roket berganda yang paling banyak dihasilkan sehingga hari ini.

Seperti Katyusha, BM-21 Grad masih digunakan sehingga hari ini.

Kedua-dua kenderaan tempur ini terlibat dalam pelbagai peperangan diserata dunia berikutan rekaannya yang mudah, ringkas dan mempunyai kos rendah.

Berbanding dengan Katyusha, Grad dilihat digunakan secara meluas di serata dunia semenjak 1960-an.

BM-21 Grad

Grad merupakan sistem pelancar roket berganda 122 milimeter dan dibangunkan pada 1960-an. Kenderaan ini dihasilkan bagi menggantikan peranan BM-14 yang melancarkan roket bersaiz 140mm.

Menariknya, kenderaan tempur ini kali pertama digunakan semasa konflik sempadan antara Soviet-China pada tahun 1969. Semenjak itu, Grad mula digunakan diperingkat global sehingga ke hari ini.

Grad turut digunakan semasa Perang Vietnam, Perang Soviet-Afghanistan, Perang Iraq-Iran dan Perang Teluk.

Sistem pelancar ini dilaporkan masih aktif dalam konflik moden. Antaranya Perang Nagarno-Karabakh, Perang Syria, Perang Yaman, Serangan Roket oleh Hizbullah dan Palestin terhadap Israel.

Selain daripada itu, Grad turut dilaporkan masih aktif digunakan dalam konflik Rusia-Ukraine.

Penembakan BM_21 Grad dilakukan secara berkumpulan bagi memaksimumkan impak penembakan di kawasan sasaran.

Pembangunan Grad

 Sistem pelancar roket ini adalah terdiri daripada sistem pelancar roket 40 tiub M-21 dan kenderaan pelancar. Pada mulanya, BM-21 Grad menggunakan trak 6 tayar Ural-375D. Pada tahun 1976, Ural-4320 digunakan sebagai trak pelancar baharu (BM-21-1).

Persenjataan

 Roket Grad mempunyai pelbagai jenis kepala peledak termasuk High Explosive , anti armor, dan radio frequency jammer. Selain daripada itu, roket ini turut digunakan untuk menempatkan periuk api  di kawasan tertentu bagi membentuk satu zon pemampan tanpa memerlukan kudrat anggota tentera berbuat demikian.

BM-21 masih digunakan di beberapa medan konflik moden. Foto menunjukkan BM-21 milik Tentera Syria.

Berat kepala peledak lazimnya sekitar 20 kilogram, bergantung kepada jenis.

Roket Grad yang asal mempunyai jarak serangan sejauh 20 kilometer. Namun, pembangunan teknologi telah membolehkan roket ini untuk mengempur sasaran sejauh 52km. Namun, jarak serangan adalah bergantung dengan jenis dan pengeluar roket.

Pengoperasian Grad

 Sistem ini boleh dioperasikan oleh 3 orang kru dan memerlukan persiapan selama 3 minit sebelum penembakan dilakukan.

Penembakan roket boleh dilakukan dari dalam trak atau menggunakan kabel sepanjang 64 meter.

Penembakan penuh (full salvo) kesemua roket mengambil masa 20 saat. Selain penembakan full salvo, roket boleh dilancarkan secara satu per satu atau berkumpulan, bergantung dengan keperluan semasa.

RM_70 milik TNI_AD merupakan salah satu varian BM-21 yang masih digunakan sehingga hari ini.

Selepas penembakan dilakukan, persiapan keluar dari tapak serangan dapat dilakukan dalam masa kurang 2 minit. Masa persiapan penembakan dan gerak keluar yang singkat sudah tentu memberikan kelebihan kepada sistem ini dari menjadi mangsa serangan balas (counter battery).

Pengisian semula roket mengambil masa kira-kira 10 minit.

Grad di ASEAN

Seperti Katyusha, BM-21 Grad mempunyai pelbagai varian dan derivatif. Secara tidak langsung, ini menjadikan Grad antara pelancar roket yang digunakan secara meluas di serata dunia.

Beberapa buah negara di rantau ini mengoperasikan Grad. Antaranya, Vietnam, Kemboja, Laos, dan Myanmar

Indonesia pula mengoperasikan RM-70 Grad/Vampire. Kenderaan tempur ini merupakan varian BM-21 yang dihasilkan oleh Republik Czech.

Vietnam antara negara pengguna BM-21 Grad sehingga hari ini.

RM-70 mengekalkan penggunaan 40-tiub pelancar roket tetapi menggunakan trak 8×8 berbanding Grad yang menggunakan trak 6×6.

Thailand membangunkan DTI-2, yang secara tidak langsung merupakan salah satu varian Grad. DTi-2 menggunakan pelancar SR4 buatan China, yang dibangunkan dari pelancar Type 81 BM

Pembangunan Type 81 BM adalah berasaskan BM-21 Grad yang dirampas oleh China semasa Perang Sino-Vietnam.

Pengaruh Grad dalam konflik Palestin-Israel

Perang Saif al-Quds pada pertengahan 2021 menyaksikan pengunaan serangan roket dari Hamas di kawasan Gaza.

Penggunaan serangan sebegini merupakan kesinambungan kepada teknologi roket kelas Grad yang digunakan oleh Hezbollah dan Hamas.

Walaupun tidak mempunyai pelancar setanding dengan BM-21 yang asal, hakikat bahawa Hamas dan PIJ memiliki roket bertaraf Grad tidak boleh dinafikan.

Kumpulan Hezbollah mula menggunakan teknologi Grad pada tahun 1993. Kebanyakan roket yang digunakan oleh kumpulan bersenjata di Selatan Lubnan ini adalah Grad, Arash (BM-21 yang dihasilkan oleh Iran), dan Type-81 (yang dihasilkan oleh China).

Roket al-Quds 3 merupakan salah satu roket yang dibangunkan dari BM-21 Grad. Ia mula digunakan semenjak tahun 2006 oleh Hamas dan Palestinian Islamic Jihad (PIJ) di Gaza.  – airtimes.my

Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali. Awas! Memberi kredit tidak bermakna anda terselamat dari sebarang tindakan sekiranya TIADA KEBENARAN diberikan. Sila hubungi pihak Air Times untuk maklumat lanjut. Terima kasih.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!