Home Semasa COVID-19: Hishammuddin panggil 3 menteri, bincang kelonggaran SOP

COVID-19: Hishammuddin panggil 3 menteri, bincang kelonggaran SOP

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan mengadakan mesyuarat bersama 3 Menteri Kabinet lain dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah penyesuaian dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan wabak COVID-19 sebelum beralih ke fasa endemik, menjelang akhir Oktober depan.

Menurutnya, 3 menteri terbabit ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

“Saya akan memanggil ketiga-tiga menteri dalam masa terdekat untuk memulakan perbincangan secara terperinci dan membuat keputusan bersama tentang penyesuaian SOP serta bentuk kelonggaran seterusnya dalam menuju fasa endemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mesyuarat berkenaan antara lain membolehkan kerajaan meneliti kelonggaran-kelonggaran yang bersesuaian bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian yang lebih bebas dalam norma baharu.

Pada masa yang sama, Hishammudin menjelaskan, telah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk terus mengemas kini SOP dan kelonggaran yang sudah dipersetujui bersama oleh kementerian-kementerian yang terlibat sebelum ini supaya lebih mudah difahami.

Hishammuddin berkata, kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat disamping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat walaupun SOP serta kelonggaran baharu dilaksanakan kelak.

“Kelonggaran-kelonggaran ini termasuklah kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan yang lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor,

“Bagi menetapkan kelonggaran-kelonggaran berkenaan, banyak faktor perlu diambil kira kerana ia melibatkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!