KUALA TERENGGANU, 6 Sept – Seramai 27 nelayan ditahan kerana didapati melanggar syarat lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang 12 batu nautika dari Kuala Merchang, Marang, semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, seramai 22 nelayan tempatan dan 5 warga Myanmar yang menaiki 2 vesel kelas C (pukat jerut dan pukat tunda) ditahan antara 1 hingga 4.30 pagi.
“Selain itu, kita turut menyita 2 vesel tersebut dan tangkapan 4,000 kilogram hasil laut dengan keseluruhan nilai dianggarkan RM3 juta,
“Kesemua kru serta 2 vesel yang berpangkalan di Kuala Besut dan Kuantan, Pahang itu dibawa masuk ke Pangkalan Perlindungan Sumber Pulau Kambing di sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, penahanan itu hasil operasi pemantauan, pengawalan dan survelan (MCS) dijalankan oleh Unit Perlindungan Sumber Perikanan Terengganu di kawasan perairan Pulau Kapas hingga Dungun.
Ruzaidi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan tindakan kompaun.
“Pemantauan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa dan kami tidak sesekali berkompromi dengan mereka yang tidak mematuhi Akta Perikanan 1985,” tambahnya. -airtimes.my