LOK KAWI, 5 Sep – Tentera Darat Malaysia (TDM) terus komited melaksanakan beberapa Projek Jiwa Murni (PJM) dengan membina dan membaik pulih rumah penduduk yang memerlukan di negeri Sabah.
Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Divisyen) menerusi hantaran di media sosialnya berkata, pelaksanaan PJM ini telah dilaksanakan hasil kepakaran anggota daripada Skuadron Kelima Rejimen Askar Jurutera Diraja (5 Skn RAJD) dengan bantuan serta ushasama kerajaan negeri.
Menurutnya, PJM ini melibatkan baik pulih rumah anggota veteran Awang Besar di Kampung Meruntum Putatan dan kediaman Gandor Basri di Kampung Meruntum Fasa 2 Putatan.
Seterusnya, 5 Skn RAJD turut membina rumah baru bagi Mohammad Hazwan Robboid Abdullah yang merupakan penduduk daif di Kampung Kota Bungan, Kota Belud dan Jasle Malada kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap serta mempunyai isteri Orang Kelainan Upaya (OKU).
Bantuan seterusnya diberikan dengan membina rumah baru bagi Samir Cosmas di Kampung Kindu,Tuaran dan anggota 75 Woksyop Divisyen (75 Wksp Div), Staf Sarjan (SSjn) John Samudin selepas kediaman beliau hangus terbakar akibat litar pintas.
Kejadian tersebut turut mendapat perhatian daripada Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan beliau turut memberikan sumbangan bagi meringankan beban Ssjn John.
Projek ini turut mendapat tajaan daripada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan usahasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tanjung Keramat bagi membantu penduduk setempat yang memerlukan.
“Kesemua projek ini telah bermula sejak bulan Mei sehingga Julai lalu,
“Sumbangan dan bantuan ini membuktikan TDM amat menekankan keperluan kebajikan anggota demi kesejahteraan warga dan keluarga,” kata hantaran itu.
Tambahnya, pelaksanaan PJM di seluruh negeri Sabah ini melibatkan peruntukan dan kerjasama daripada kerajaan negeri, pemimpin setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Pelaksanaan ini membuktikan hubungan komitmen Markas 5 Div dalam membina hubungan yang baik antara ATM dengan masyarakat awam,
“5 Div akan terus komited dalam membantu masyarakat negeri Sabah yang memerlukan, terutama golongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” jelasnya.