PUTRAJAYA, 5 Sept – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Pengerusi Bersama CITF, Datuk Seri Dr. Adham Baba menyatakan sebanyak 7 buah Pusat Pemberian Vaksin bergerak akan ditambah di negeri Johor.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, jumlah ini sebagai tambahan kepada 13 PPV bergerak yang sedia ada di negeri itu.
“Saya berharap agar jumlah ini dapat direalisasikan sebelum berakhirnya bulan September 2021.
“Usaha ini adalah selaras dengan komitmen kami bagi program jangkauan (outreach programme) iaitu untuk mempercepatkan lagi proses vaksinasi di negeri-negeri yang akan berhadapan musim tengkujuh termasuk negeri Johor,” katanya.
Jelas Adham, 175,360 rakyat negeri Johor telah menerima suntikan vaksin di 13 PPV bergerak sehingga semalam. Daripada jumlah itu, seramai 89,263 telah menerima dos pertama vaksin, dan 86,097 telah lengkap divaksinasi.
“Secara keseluruhan 261,457 dos telah diberi di 13 PPV bergerak dan luar jangkauan ini.
“Sehubungan itu, apabila jumlah PPV bergerak ini ditambah kepada 20, saya percaya lebih ramai rakyat negeri Johor khususnya di luar bandar akan mendapat suntikan vaksin dalam tempoh terdekat.
“Untuk rekod, terdapat sebanyak 364 Pusat Pemberian Vaksin di negeri Johor dengan jenis berbeza,” kata Adham.
Sementara itu, Menteri turut mengesahkan sebanyak 3.68 juta suntikan dos telah diberikan kepada penduduk Johor. Dari jumlah tersebut, seramai 2.25 juta penduduk telah menerima satu dos dan 1.42 juta lagi telah lengkap dos kedua.
“Setakat ini, Johor mencatatkan sebanyak 83.1 peratus daripada populasi dewasa yang telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos dan 52.6 peratus yang lengkap divaksinasi,
“Kadar purata vaksinasi harian di Johor sepanjang tujuh hari lalu adalah 59,683 dan semalam sahaja, sebanyak 59,240 dos diberikan di seluruh negeri Johor,” ujarnya.
Menurut Adham, Johor akan menerima sebanyak 1.984 juta dos vaksin. Jumlah tersebut merangkumi .82 juta dos Pfizer, 100 ribu dos Sinovac, 40 ribu dos AstraZeneca dan 22 ribu dos CanSino. – airtimes.my