Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Pakar semburan api dinaikkan pangkat Pegawai Waran Dua

Pakar semburan api dinaikkan pangkat Pegawai Waran Dua

by Air Times News Network

SUNGAI BESI, 3 Sept – Drum Major Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (PPKAD) iaitu Staf Sarjan Madzain Medol dianugerahkan kenaikan pangkat Pegawai Waran Dua sebagai pengiktirafan di atas kecemerlangan dan kewibawaan ketika membuat persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Dataran Pahlawan Negara pada 31 Ogos lalu.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, penganugerahan pangkat tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Kem Perdana Sungai Besi pada Rabu.

Kenaikan pangkat ini diberikan atas kecemerlangan Drum Major Pegawai Waran Dua Madzain Medol yang mengetuai Persembahan Drumline Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah menyempurnakan penganugerahan kenaikan pangkat Pegawai Waran Dua kepada Staf Sarjan Madzain bin Medol. Foto: TDM

Beliau turut memimpin Pancaragam Gabungan Badan Beruniform yang terdiri daripada gabungan 8 agensi iaitu TDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pada sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

“Persembahan Drumline ATM adalah diantara yang menjadi perhatian umum dimana ketika beliau memimpin persembahan tersebut secara solo telah berjaya mencuri perhatian orang ramai,

“Persembahan unik beliau turut diringi dengan irama drumline yang digarap dengan baik dengan elemen budaya pelbagai kaum yang memperdengarkan rentak lagu-lagu etnik di Malaysia,

“Secara jelasnya, pesona aksi oleh beliau telah memukau khususnya dengan aksi semburan api atau dikenali sebagai fire dragon,” katanya.

Menurut TDM, kenaikan pangkat ini adalah sebagai pengiktirafan di atas kecemerlangan khidmat bakti yang telah Madzain tonjolkan sebagai contoh kepemimpinan terbaik bagi seorang Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK). – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!