KUALA LUMPUR, 3 Sept – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket ceti haram yang dikenali ‘Ah Long Bangladesh’ dalam satu operasi khas di sebuah premis di Bukit Bintang, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan pada pukul 1 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai JIM dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas telah menahan 2 warga Bangladesh berusia 23 dan 42 tahun termasuk dalang utama.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, penghuni premis enggan memberikan kerjasama untuk membuka pintu,
“Pasukan operasi terpaksa memecahkan pintu premis untuk melakukan pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 5 orang warga asing berada di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, hasil soal mendapati suspek utama yang dikenali sebagai ‘Ah Long Bangladesh’ telah melarikan diri ketika pasukan serbuan sedang memecahkan pintu hadapan.
“Suspek utama telah melompat ke koridor rumah bersebelahan dan bersembunyi di kawasan tersebut,
“Pasukan operasi telah bertindak segera melakukan pencarian di kawasan berhampiran. Lebih kurang 2 jam kemudian, pasukan operasi berjaya menemui suspek bersembunyi di tingkat 3 bangunan bersebelahan,” ujarnya.
Menurutnya, sebanyak 9 keping pasport Bangladesh dan wang tunai berjumlah RM50,000 dipercayai hasil aktiviti pinjaman dan penghantaran wang tanpa lesen ditemui dalam operasi itu.
Selain itu, turut ditemui sejumlah dokumen berkaitan sebuah syarikat dan beberapa kontrak penyewaan bangunan yang dipercayai digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan ini.
“Sindiket dipercayai menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang dan kiriman wang tidak berlesen kepada warga asing di sekitar Kuala Lumpur,
“Modus Operandi sindiket adalah menubuhkan syarikat secara sah bagi mengaburi kegiatan mereka. Sindiket dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak setahun yang lalu dengan menjadikan warganegara Bangladesh sebagai pelanggan dan sasaran mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, suspek yang ditahan termasuk dalang utama sindiket telah ditahan di Depot Imigresen Semenyih selama 14 hari.
Kes disiasat di bawah Seksyen 51(5) (b)Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1950 (Akta 150), Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613). – airtimes.my