Home Pertahanan dan Keselamatan Tolak vaksin: Terserah kepada ATM tentu nasib anggota – Hishammuddin

Tolak vaksin: Terserah kepada ATM tentu nasib anggota – Hishammuddin

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=kMsDpq7ibmA[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Keputusan untuk menentukan nasib anggota Sarjan Wan Ramly Wan Seman yang diberhentikan kerana menolak suntikan vaksin COVID-19 diserahkan sepenuhnya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan ATM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berkaitan isu berkenaan.

“Semua pihak sedia maklum anggota tentera wajib mengambil vaksin atas dasar kumpulan itu hidup secara berkelompok,

“Tetapi saya difahamkan kalau Sarjan berkenaan sanggup divaksin saya percaya Tentera Darat Malaysia (TDM) akan pertimbangkan untuk beliau diserap semula bertugas tetapi keputusan itu diserah kepada individu berkenaan dan keputusan itu mesti dibuat oleh TDM,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, pada Rabu.

Hishammuddin berkata demikian ketika ditanya status Wan Ramly selepas diberhentikan kerana enggan menerima suntikan vaksin.

Beliau berkata, ATM telah menggunakan pelbagai kaedah termasuk pemujukkan bagi menyakinkan anggotanya untuk divaksin.

“Kalau mereka tidak divaksinasi, mereka menjadi pembawa risiko bukan sahaja kepada diri tetapi ahli keluarga dan masyarakat,” tambahnya.

Beliau berkata, sebelum ini, TDM telah mengeluarkan kenyataan mempertimbangkan untuk menyerap semula anggota yang dipecat sekiranya bersedia menerima suntikan vaksin.

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada individu terbabit,” ujarnya.

Sebelum ini, TDM mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin COVID-19.

Menurut TDM, ia kerana setiap anggotanya diwajibkan untuk mengambil suntikan itu, terutama sebelum melaksanakan penugasan dan sekiranya gagal berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah ditetapkan.

“Pengambilan vaksin di dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar anggota TDM hidup secara berkelompok,

“Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan, turut berdepan dengan kebolehjangkitan COVID-19,

“Sehubungan itu, adalah wajar untuk kesemua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan anggota TDM, bahkan boleh menjangkiti keluarga anggota TDM dan masyarakat keseluruhannya,

“Tindakan seseorang anggota tentera yang ingkar atau enggan untuk menerima vaksin, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap,” jelas TDM. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!