Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin selamat dikebumikan

Jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin selamat dikebumikan

by Nurulhuda

SUNGAI PETANI, 2 Sep – Jenazah anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa selamat dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam, hari ini.

Majlis pengebumian jenazah anggota Tinjau yang lemas selepas hilang ketika menjalani latihan itu selesai kira-kira pada jam 2.30 petang. Sebelum itu urusan solat jenazah dan bacaan tahlil telah diadakan di Surau Taman Desa Aman.

Istiadat pengkebumian melibatkan anggota dari unit 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD), Markas Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Briged), Kem Lapangan Terbang.

Terdahulu, jenazah Allahyarham diterbangkan dari Temerloh ke Kuantan dan kemudian terus ke Pangkalan Udara Butterworth dengan menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Jenazah Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad diterbangkan dari Temerloh ke Kuantan dan kemudian terus ke Pangkalan Udara Butterworth dengan menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kemudian jenazah terus dibawa ke kediaman ibu bapa arwah di Taman Desa Aman, Sungai Lalang.

Van jenazah yang membawa Allahyarham tiba di perkarangan tanah perkuburan tersebut jam 1.20 tengah hari.

Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga termasuk isteri arwah, Nor Aqila Syafiqa Safuan, 22, pada sepanjang proses pengKebumian itu berlangsung.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Allahyarham, Mohamad Azrin (27) merupakan anggota tinjau daripada pasukan Kompeni PANDURA (PARA) dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan Eksesais PARA Predator Siri 1/2021 pada Ahad lepas.

Semasa kejadian, Mohamad Azrin sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.

Mayat Allahyarham ditemukan oleh penduduk kampung di kawasan Kampung Serengkam, Maran, kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian pada jam 8.15 pagi, semalam.

Kehilangan Mohamad Azrin turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila baginda berkenan mencemar duli menaiki bot menyertai operasi mencari dan menyelamat meskipun dalam keadaan hujan pada Selasa.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!