BUKIT KAYU HITAM, 1 Sept – Kesan tapak kaki di sekitar pagar sempadan Malaysia-Thailand, membawa penemuan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar termasuk tekong yang cuba memasuki negara secara haram.
Pegawai Pemerintah Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, Superintendan Md Dali Jamil berkata, kesemua mereka dikesan oleh anggota PGA yang memeriksa berhampiran pos kawalan di sempadan negara, sebelum menahan mereka pada jam 7.20 malam tadi.
Beliau berkata, anggotanya mengesan tapak kaki dan kesan pagar dipotong yang dipotong, sebelum mengekori kesan tapak kaki sehingga menemui sekumpulan PATI di ladang Laka Temin.
“Semua PATI warga Myanmar itu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,
“Mereka berusia antara 18 hingga 55 tahun dan dipercayai memasuki negara ini secara haram,” katanya dalam kenyataan, pada hari ini.
Md Dali berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. Manakala, tekong yang pula disiasat di bawah Antipemerdagangan dan Penyeludupan Migran.
“Hasil siasatan mendapati, mereka dipercayai dibawa dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda di Thailand dan memecahkan pagar sempadan dengan berjalan kaki di kebun getah untuk memasuki negara ini,
“Mereka mengambil kesempatan pada waktu anggota menukar syif dan pada waktu Maghrib kerana menyangka kawalan ketika itu longgar,” tambahnya.
Menurutnya, setiap PATI berkenaan dipercayai membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 seorang kepada tekong di Thailand.-airtimes.my