Home Semasa Guna hospital medan tentera kuarantin pesakit kategori 3 COVID19 – Tun M

Guna hospital medan tentera kuarantin pesakit kategori 3 COVID19 – Tun M

by M.Daim

PUTRAJAYA, 1 Sept – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesa kerajaan Malaysia untuk bertindak segera bagi mengatasi angka kematian akibat COVID-19.

Menurut Tun M, langkah untuk kuarantin rumah kepada pesakit kategori 1, 2 dan 3 mempunyai kelemahan. Ianya turut berisiko kepada pesakit kategori 3 yang memerlukan tindakan segera sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Kategori 3 yang sudah pun menunjuk paru-paru terjangkit, apabila menjadi lebih teruk tidak dapat apa-apa rawatan di rumah,

“Keluarga di rumah tidak dapat tolong kerana tidak boleh berdekat dengan pesakit. Doktor tidak dapat dipanggil. Pesakit jadi lebih teruk. Oksigen tidak ada di rumah. Dan akhirnya pesakit meninggal dunia,” ujarnya.

Tun M menegaskan pesakit kategori ini mampu untuk diselamatkan dan memerlukan pemerhatian rapi oleh petugas perubatan.

Beliau turut mencadangkan penggunaan hospital medan tentera, dewan di hotel dan bangunan lain sebagai tempat kuarantin sementara pesakit kategori 3 COVID-19.

“Lebih seribu pesakit kategori 3 boleh dikuarantin di hospital sementara. Pihak tentera boleh bina hospital ala field hospital,

“Dewan-dewan di hotel dan bangunan lain boleh dilengkap dengan katil, oksigen dan doktor serta jururawat,

“Apabila dikesan pesakit sudah jadi lebih serius, doktor dan jururawat boleh beri oksigen. Jika kurang respon, pesakit boleh dipindah ke hospital biasa,” katanya dalam satu hantaran di laman blog beliau.

Selain daripada itu, Tun M turut mencadangkan pesakit kategori 1 dan 2 yang menjalani kuarantin di rumah sentiasa dipantau oleh doktor serta jururawat bagi memerhati keadaan mereka.

“Saya harap cadangan saya ini diterima oleh Kementerian Kesihatan. Saya percaya jumlah kes baru dapat dikurangkan. Dan juga jumlah kematian,” kata Tun M lagi. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!