Home Pertahanan dan Keselamatan ATM-MINDEF gembleng tenaga perangi COVID-19 demi kesejahteraan rakyat

ATM-MINDEF gembleng tenaga perangi COVID-19 demi kesejahteraan rakyat

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu berganding bahu untuk mencapai matlamat agenda nasional secara bersama.

Beliau dalam satu sidang media di Kementerian Pertahanan hari ini berkata, satu kumpulan kerja (task force) diwujudkan bagi mengkoordinasikan ATM dan MINDEF dalam mengurus usaha.

Menurut beliau, kumpulan kerja ini akan diketuai oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Pada masa yang sama, Hishammuddin menegaskan kerjasama erat antara kedua-dua pihak dalam memerangi COVID-19 adalah satu keutamaan pada masa ini.

Beliau menambah, pihak kementerian dan ATM perlu melaporkan perkembangan tindakan yang telah dilaksanakan dan memberikan cadangan untuk menambah baik pelan sedia ada.

“Mereka boleh mencadangkan kepada saya akan tindakan susulan yang boleh ditambah baik selepas ini dengan mengambil kira beberapa pelan yang  telah dilaksanakan termasuklah membantu usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Antara pelan yang dimaksudkan adalah Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), dam Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley.

Jelasnya, usaha sebegini adalah penting bagi melindungi rakyat.

“Saya bersama barisan kepimpinan MINDEF dan ATM akan segera turun ke lapangan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan dari mereka yang berkait rapat dengan keadaan operasi semasa,

“Saya mahu usaha ang dilakukan adalah berdasarkan suara kolektif dan konsensus bersama,” ujarnya.

Kerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri

Selain daripada itu, Hishammuddin menyatakan pihaknya akan berkerjasama dengan Menteri Dalam Negeri dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan.

“Kerjasama ini akan memberi fokus kepada penguatkuasaan dan pemantauan secara menyeluruh,” katanya.

Ujarnya, aspek pemantauan dan penguatkuasaan adalah penting dengan melihat kelonggaran SOP terutamanya kepada individu yang telah menerima vaksin lengkap.

Diplomasi Pertahanan

 Hishammuddin turut menegaskan MINDEF dan ATM akan terus memperkukuh hubungan serta kerjasama dengan negara raka yang lain.

“Pengkhususan adalah tertumpu kepada aspek diplomasi ketenteraan, aspek keselamatan antarabangsa pengurusan pandemik COVID-19 serta ekonomi,” katanya.

Menurut Hishammuddin, beliau telah mengadakan perbincangan melalui talian telefon dengan Menteri Kanan Koordinasi Untuk Keselamatan Singapura, Teo Chee Hean, semalam. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!