[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ve1eqgoKxgA[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – 10 Briged PARA merupakan sebuah ketumbukan pasukan elit di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM), iaitu Briged Payung Terjun dengan tahap kesiagaan yang tinggi.
Briged yang menjadi komponen utama TDM ini turut dikenali sebagai Pasukan Aturgerak Cepat (PAC).
Briged ini merupakan elemen tempur yang akan memberikan tindak balas pantas (quick reaction) terhadap sebarang kemungkinan ancaman, serta mampu untuk memberikan opsyen ketenteraan kepada negara di dalam menghadapi sebarang kontinjensi di dalam atau luar negara untuk melindungi kepentingan serta kedaulatannya.
Latihan ketenteraan merupakan keperluan paling penting dan menjadi teras utama kepada TDM atau core business, semasa berada di dalam keadaan aman untuk mengekalkan tahap kesiagaan yang tinggi pada sebilang masa.
Sehubungan itu, bagi merealisasikan amanah sebagai pasukan elit TDM, pasukan 10 Briged PARA telah melaksanakan pelbagai latihan untuk mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kompetensi setiap Leading Para Battle Group (LPBG).
Eksesais Para Predator siri 1/2021 merupakan salah satu medan bagi menguji keupayaan setiap anggota di dalam aturgerak 10 Briged PARA dalam melaksanakan operasi di barisan belakang musuh.
Eksesais ini juga dirangka bagi menilai tahap kepimpinan setiap lapisan pemerintahan, tahap kompetensi atau keupayaan setiap pasukan tempur di dalam briged ini, serta menguji ketahanan fizikal dan mental anggota briged ini untuk berhadapan dengan tekanan realisme yang tinggi sebagaimana situasi sebenar ketika perang dan krisis.
Panglima 10 Briged PARA, Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal berkata, eksesais ini dilaksanakan bertujuan untuk menguji keupayaan dan ketahanan setiap ketua dan anggota dari pelbagai peringkat dalam grup tempur PARA.
Menurutnya, selain latihan yang berterusan, ketahanan mental dan fizikal seseorang anggota PARA juga memainkan peranan yang penting untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai PAC dalam TDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya.
“Objektif utama setiap latihan yang dijalankan adalah untuk menguji fizikal dan mental serta ketahanan setiap anggota PARA yang berkhidmat dibawah naungan 10 Briged PARA,
“Kekuatan fizikan dan mental adalah sangatlah penting kerana apabila kami keluar untuk melaksanakan latihan setiap anggota harus berada dalam keadaan cergas, sedia untuk bertempur dan boleh diaturgerak di mana sahaja,” katanya kepada AirTimes ketika ditemui baru-baru ini.
Khairul berkata, bagi memastikan eksesais ini menjadi lebih realistik dan sebenar, pihaknya telah melibatkan aset kenderaan tempur dari Kor Armor Diraja (KAD) dan juga jambatan tempur dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bagi mensimulasikan gerakan serta kemaraan anggota 10 Briged PARA dalam eksesais ini.
“Selain itu, kami turut menjemput pasukan Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) (4 Bgd Mek) dibawah naungan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) untuk sama-sama dalam latihan ini bagi menjadikan latihan ini lebih realistik,” tambahnya.
Seramai 1,900 keanggotaan daripada pelbagai elemen Markas 10 Briged (PARA), Kompeni Infantri Mekanis, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), elemen tempur, bantuan tempur dan bantuan khidmat tempur 10 Briged PARA telah diaturgerakkan bagi melaksanakan eksesais yang diadakan selama 2 minggu di Kampung Batu Bor, Bera, Pahang.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyaksikan perasmian eksesais yang beskala besar ini.
Menurutnya, eksesais sebegini akan terus dilaksanakan di masa hadapan, bagi mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kompetensi formasi tempur TDM, khususnya untuk pasukan elit dan khusus. -airtimes.my