BERA, 31 Ogos – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah hari ini berkenan untuk mencemar duli sertai operasi mencari anggota tentera yang hilang semasa melaksanakan latihan di Kampung Bohor Baru di Bera, Pahang.
Keberangkatan tiba Baginda telah disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
Menurut Istana Negara, Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni keluarga mangsa.
Selain daripada itu, Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa bagi mengurangkan beban mereka.
Sultan Abdullah yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia turut berkenan menerima persembahan taklimat oleh Panglima 10 Briged (Para) dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang.
Pada Ahad lalu, seorang anggota tentera dilaporkan hilang semasa melaksanakan latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021.
Operasi menyelamat dilancarkan semenjak petang 29 Ogos.
Operasi ini turut melibatkan Tentera Darat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk kampung.
Fokus pencarian dilaksanakan di kawasan mangsa kali terakhir dilihat. – airtimes.my