BERA, 30 Ogos – Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari 10 Briged PARA (10 Bgd PARA) dilaporkan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang, semalam.
TDM dalam kenyataan mengesahkan, anggota tersebut Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa merupakan anggota tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (PARA) yang sedang menjalani Eksesais Para Predator siri 1/2021 di Kampung Batu Bor.
Menurut TDM, pihaknya telah menggerakkan anggota operasi dan menyelamat namun masih tiada penemuan sehingga kini.
“Semasa kejadian, anggota sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor. Kejadian berlaku pada 29 Ogos 2021 jam 4.40 petang,
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang telah dilaksanakan di tempat kejadian pada 29 Ogos 21 jam 4.50 petang,
“Opersi SAR ini turut juga dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung di kawasan di mana mangsa kali terakhir dilihat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah TDM , operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada jam 7 petang semalam kerana keadaan cuaca yang semakin gelap dan ia diteruskan pada hari ini.
Semalam, Eksesais Para Predator ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob dan ia berlangsung selama 14 hari bermula Selasa lalu.
Eksesais ini adalah untuk mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kompetensi setiap Leading Para Battle Ground (LPBG) di dalam aturgerak 10 Briged PARA bagi melaksanakan operasi di barisan belakang musuh.
Eksesais ini melibatkan aturgerak 1,900 keanggotaan, aset-aset dan logistik TDM.-airtimes.my