WASHINGTON, 30 Ogos – Beberapa wilayah di Amerika Syarikat (AS) mengalami kekurangan bekalan oksigen, katil hospital dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan peningkatan secara mendadak kes jangkitan COVID-19.
Beberapa hospital di Florida, South Carolina, Texas dan Louisiana sedang berhadapan situasi genting kerana mengalami kekurangan bekalan oksigen.
CNN melaporkan peningkatan kes berlaku akibat penularan varian Delta wabak COVID-19 yang turut memberikan kesan kepada pesakit yang belum menerima vaksin.
“Hospital di beberapa kawasan hanya mampu untuk bertahan selama satu atau dua hari sebelum kehabisan,
“Kebiasaannya, bekalan oksigen mampu untuk bertahan dalam tempoh 5 hari,” kata jururunding perubatan, Donna Cross kepada CNN.
Tambahnya, situasi menjadi semakin kritikal.
Sementara itu, Dr Ahmed Elhaddad, petugas perubatan di Florida menyatakan varian Delta menyebabkan situasi COVID-19 di negeri itu semakin memburuk.
Florida merupakan negeri yang mencatatkan kadar pesakit di hospital yang tertinggi di AS.
“Kadar kematian meningkat secara mendadak di kalangan pesakit yang dijangkiti varian Delta. Pada kali ini, kami melihat ramai pesakit yang berusia antara 30-50 tahun menderita akibat varian ini,” kata Ahmed yang juga merupakan Pengarah ICU Jupiter Medical Center. – airtimes.my