Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan pertimbang pencen kepada semua bekas tentera

Kerajaan pertimbang pencen kepada semua bekas tentera

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=JUWtfZ5EJw8[/embedyt]

 

BERA, 28 Ogos – Kerajaan bercadang untuk memberikan pencen kepada semua bekas anggota tentera secara sama rata termasuklah yang tidak mencukupi tempoh pencen bagi menjaga kebajikan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pertahanan kini sedang melaksanakan kajian terperinci dalam pelbagai aspek termasuklah mendapatkan maklumat bekas-bekas tentera yang telah menamatkan perkhidmatan awal.

“Sekarang sesiapa pencen awal sebelum 21 tahun mereka tidak ada pencen, ini menyebabkan mereka menjadi veteran dan tidak ada pendapatan,

“Walaupun ada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang melatih tentera sebelum bersara tetapi tidak semuanya berjaya dalam perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Pesisir Sungai Pahang di Kampung Batu Bor, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Ismail Sabri berkata, pada masa ini kajian sedang dilakukan oleh pihak Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bagi merealisasikan pemberian pencen kepada semua bekas anggota tentera.

“Mungkin setelah kertas kerja selesai, Menteri baharu (Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein) akan membawa perkara ini untuk dibentangkan di Parlimen,” tambahnya.

Pada April lalu, Kementerian Pertahanan mengemukakan cadangan mewajibkan semua anggota tentera berkhidmat selama 21 tahun bagi melayakkan mereka mendapat pencen.

Pada masa ini, anggota tentera mempunyai pilihan untuk bersara dengan perkhidmatan 12, 15 atau 18 tahun tanpa mendapat pencen. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!