KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Syarikat pertahanan Malaysia, MA Analytics telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 3 buah syarikat pertahanan terbesar Turki.
Menurut MA Analytics, MoU yang ditandatangani melibatkan Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE), Katmerciler dan IVEO Defence.
“MoU ditandatangani semasa pameran International Defence Industry Fair (IDEF 2021) bertempat di Tuyap Fair, Turki pada 18 Ogos 2021,” kata MA Analytics dalam satu kenyataan.
Menurutnya, antara perkara dipersetujui adalah kerjasama antara syarikat Turki dan Malaysia yang memberi fokus kepada persenjataan, artileri dan kereta perisai.
“Semua pihak telah bersetuju untuk sama-sama terlibat di dalam mereka cipta, membina, dan membekalkan persenjataan, artileri serta kereta perisai di Malaysia,
“Syarikat dari Turki akan memberikan bantuan teknikal, khidmat perundingan, pembekalan dokumentasi, teknologi, lesen, pengetahuan dan beberapa perkara termasuk khidmat pasca jualan kepada Malaysia,” katanya. – airtimes.my