BANDAR PENAWAR, 26 Ogos – Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah berjaya mengesan kemasukan 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia, awal pagi tadi.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) yang turut melaksanakan Operasi Bersepadu telah menjejaki bot tersebut serta mendapati bot tersebut telah mendarat di tepi pantai Ladang Kurnia, Bandar Penawar.
Menurutnya, hasil penjejakan yang dilakukan oleh Tim Quick Reaction Force (QRF) telah berjaya mengesan dan menangkap 4 PATI yang sedang bersembunyi di sekitar kawasan tersebut.
“Seterusnya pada jam 8.00 pagi, 7 lagi PATI ditangkap berada di sekitar kawasan berkenaan,
“Manakala, seorang lagi PATI ditahan hasil tinjauan yang dilakukan oleh Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP),” katanya.
Kesemua 12 PATI yang ditahan adalah terdiri daripada 7 lelaki dan 5 wanita berusia sekitar 20 hingga 51 tahun dipercayai baharu saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.
Nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 3,837.68 melibatkan matawang Indonesia IDR 6,430,500.00 (RM 1,871.68) selain 7 buah telefon bimbit.
Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Setia Tropika, Kempas. Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
Markas 3 Divisyen berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara bagi memastikan keselamatan perairan serta daratan bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan mahupun aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang. -airtimes.my