PUTRAJAYA, 26 Ogos – Kerajaan dan pembangkang telah bersetuju untuk memberi fokus kepada kebajikan rakyat dalam menghadapi krisis COVID-19 dan ekonomi.
Perdana Menteri dan pemimpin pembangkang dalam satu kenyataan bersama berkata, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memperkasa fungsi Parlimen dalam memastikan tadbir urus eksekutif menjadi lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan lebih kondusif untuk rakyat serta negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” kata kenyataan itu.
Pertemuan selama lebih satu jam telah diadakan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin pembangkang yang diwakili oleh Datuk Seri Anuar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.
Menurut kenyataan itu, pertemuan diadakan bagi merealisasikan titah dan hasrat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk meredakan suhu politik negara. – airtimes.my