Home Pertahanan dan Keselamatan Panglima Angkatan Tentera ke-7 meninggal dunia

Panglima Angkatan Tentera ke-7 meninggal dunia

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Bekas Panglima Angkatan Tentera ke-7, Jeneral Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth (Bersara), 93, meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), pagi tadi.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata, jenazah Allahyarham telah disempurnakan di Masjid Khalid Al Walid Kementerian Pertahanan lebih kurang pada jam 2.30 petang tadi.

“Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara untuk dikebumikan setelah selesai solat jenazah di masjid berkenaan dengan kehadiran ahli keluarga terdekat sahaja bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan seluruh warga ATM menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian Allahyarham serta menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

Terdahulu, bekas Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menerusi hantaran di media sosialnya turut memaklumkan berita pemergiannya Allahyarham.

“Bapa saudara saya, Tan Sri Mohd Ghazali Seth telah pulang ke Rahmatullah. Perkhabaran yang amat menyedihkan bagi kami sekeluarga,

“Marilah kita sama-sama doakan, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama para hamba-Nya yang diredhai. Insya-Allah. Al-Fatihah,” kata hantaran itu. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!