KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ketua Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik), Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah telah memulakan tindakan undang-undang terhadap pengendali dan pemilik platform forum berkaitan pelaburan dalam talian, KLSE Screener.
Tindakan diambil berikutan dakwaan platform itu menerbitkan komen palsu dan fitnah yang disiarkan oleh pengguna yang menyamar sebagai CEO Serba Dinamik.
Pihak syarikat dalam satu kenyataan berkata, akaun pengguna yang menggunakan nama “Dato’Mohd Karim” telah menerbitkan komen palsu di laman web klsescreener.com.
Komen oleh pengguna tersebut telah menyebabkan spekulasi yang tidak diingini terhadap saham Serba Dinamik.
Pengerusi Serba Dinamik, Datuk Mohamed Ilyas menyatakan perintah interim oleh pihak syarikat dan Abdul Karim terhadap Lim Kai Yang, pemilik serta pengendali KLSE Screener.
Perintah interim itu bertujuan untuk menghalang KLSE Screener dari menerbitkan, menerbitkan semula atau membenarkan penerbitan komen palsu oleh akaun yang menyamar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik dan pihak syarikat.
“Serba Dinamik melihat penyamaran serta penerbitan komen palsu sebagai satu kesalahan serius,
“Komen palsu sebegini telah menimbulkan sepkulasi yang tidak diingini mengenai Serba Dinamik,
“Ia sekaligus membahayakan, merosakkan nama baik dan reputasi syarikat dan Abdul Karim” kata Ilyas dalam satu kenyataan.
Jelasnya, Serba Dinamik akan terus memantau beberapa platform lain.
Pada masa yang sama, tindakan undang-undang akan diambil terhadap paltform yang menerbitkan artikel palsu terhadap syarikat.
Sebelum ini, Serba Dinamik turut membuat laporan polis terhadap seorang pengguna akaun di platform lain, i3investors.com yang mendakwa syarikat itu adalah bersifat ponzi scam.
Pengguna bernama Uncle Tan kemudiannya bertindak menarik balik dakwaan beliau dan memohon maaf kepada Serba Dinamik. – airtimes.my