Home Pertahanan dan Keselamatan Anggota tolak vaksin: Veteran tentera jangan campur tangan – PVATM

Anggota tolak vaksin: Veteran tentera jangan campur tangan – PVATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menegaskan agar ahlinya yang telah bersara tidak mencampuri hal ehwal anggota yang diambil tindakan ketika dalam perkhidmatan tanpa mengetahui peraturan dan undang-undang ketenteraan terkini sedia ada.

Presidennya, Kapten Sharuddin Omar berkata, ia termasuklah memberi komen negatif yang boleh mempengaruhi pemikiran veteran lain yang sama-sama tidak mengetahui hujung pangkal isu sebenarnya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan isu pemberhentian seorang anggota daripada Batalion 24 Rejimen Askar Melayu Diraja (24 RAMD), Sarjan Wan Ramli Wan Seman kerana menolak pemberian vaksin COVID-19 yang tular baru-baru ini.

“Respon ini berkaitan terdapatnya beberapa artikel dan video yang tular di media maya datangnya dari warga veteran sendiri,

“Video klip yang dibuat oleh seorang veteran pada 17 Ogos 2021 yang mengaku pembela keadilan melalui temubual dengan Wan Ramli Wan Seman yang dikatakan teraniaya,

“Seperti mana kita sedia maklum, tentera adalah satu perkhidmatan unik berteraskan kesetiaan kepada Raja, Negara dan Organisasi, dan kepatuhan kepada perintah dan arahan serta mematuhi disiplin diri tetapkan,

“Tanpa mematuhi sepenuhnya terhadap ketiga-tiga teras prinsip dan sifat dinyatakan maka seseorang itu tidak boleh berkhidmat dalam perkhidmatan tentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keengganan Wan Ramli yang telah berkhidmat selama 19 tahun dan berpangkat Sarjan untuk divaksinasi boleh membahayakan banyak pihak, termasuk rakan sekerja, komuniti, orang ramai serta keluarganya sendiri.

Dalam masa yang sama, PVATM juga menyeru rakan seperjuangan veteran agar tidak campur tangan atau membuat sebarang komen negatif terhadap anggota yang sedang berkhidmat.

“Kita mesti memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap pucuk pimpinan tentera untuk mengurus dan mentadbir ATM, iaitu sebuah organisasi yang pernah kita menjadi sebahagian daripadanya,

“Janganlah hendaknya kita veteran menjadi virus yang boleh melunturkan kesetiaan, perjuangan dan pengorbanan kita kepada negara dan bangsa selama ini,” tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan Wan Ramli diberhentikan selepas 19 tahun berkhidmat ekoran enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 di penempatannya.

Arahan pemberhentian perkhidmatan terhadapnya dikeluarkan Kementerian Pertahanan dan akan berkuat kuasa 26 Ogos ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!