KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9, pada Sabtu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dalam hataran di media sosialnya berkata, beliau memberikan sokongan penuh kepada Ismail Sabri dalam memimpin negara.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri,
“Saya memberi sokongan penuh kepada beliau dan insya-Allah akan terus membantu kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara,
“Saya mendoakan semoga Ismail Sabri akan dapat menggalas amanah kepimpinan dengan sebaik mungkin dan mengemudi negara ke mercu kejayaan,” katanya semalam.
Muhyiddin turut berkongsi beberapa keping gambar kunjungan Ismail Sabri di kediamannya.
“Saya telah menerima kunjungan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kediaman saya petang tadi,” ujarnya.
Pada Sabtu, Ismail mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada Isnin lalu selepas kehilangan sokongan majoriti.
Ismail memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri sejak 7 Julai, selain menjadi Menteri Pertahanan di bawah pentadbiran Muhyiddin.
Istana Negara mengumumkan Ismail telah dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Yang di-Pertuan Agong mengesahkan beliau mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen, seterusnya memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan. -airtimes.my