KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda membuat keputusan itu selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat menerusi surat akuan (SD).
“Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,
“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,” kata kenyataan itu.
Menurut Ahmad Fadil, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri adalah dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan PM ini, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat pandemik ini,
“Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan PM baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan Bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat serta negara,” titah baginda.
Dalam masa sama, baginda turut mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat COVID-19.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhdimatan yang terbaik kepada rakyat,” titah baginda. – airtimes.my