BUKIT KAYU HITAM: Usaha 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk keluar ke Thailand melalui sempadan negara dengan menggunakan laluan yang tidak sah berjaya dipatahkan oleh anggota tentera.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Mk 2 Div) dalam kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku di sektor Operasi Benteng kawasan tanggungjawab (KTJ) Briged Keenam Infantri Malaysia, awal pagi semalam.
“Anggota bertugas yang sedang melakukan rondaan telah terserempak sekumpulan lelaki seramai 10 orang dalam keadaan mencurigakan,
“Anggota bertugas telah bertindak menahan kumpulan tersebut dan di bawa ke Pos Sekatan Jalan Kesalamatan untuk siasatan awal,” jelasnya.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, 10 lelaki berusia antara 21 tahun hingga 42 tahun tersebut merupakan warganegara Myanmar yang ingin pulang negaranya melalui sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand dengan menggunakan laluan yang tidak sah.
Jelasnya lagi, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis IPD Jitra, Kedah untuk tindakan selanjutnya. – airtimes.my