Home Politik PM baharu perlu secepat mungkin kemuka usul undi percaya di Dewan Rakyat

PM baharu perlu secepat mungkin kemuka usul undi percaya di Dewan Rakyat

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong akan membuat pelantikan Perdana Menteri baharu mengikut Perkara 40 (2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Ahmad Fadli Shamsuddin, hari ini.

“Seri Paduka Baginda selanjutnya bertitah supaya semua 220 Ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada baginda surat akuan (SD) yang menyatakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu,

“Kesemua Ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4 petang,” titah baginda.

Menurut Ahmad Fadli, Seri Paduka Baginga turut menegaskan bahawa SD tersebut adalah bertujuan untuk membantu baginda membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang,

“Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat),” titah baginda. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!