Home Semasa Saya mohon maaf atas segala kekurangan – Azmin Ali

Saya mohon maaf atas segala kekurangan – Azmin Ali

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meluahkan rasa sedih susulan pengumuman peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Beliau menerusi hantaran di media sosialnya berkata, masalah ekonomi dan pekerjaan rakyat sentiasa menjadi keutamaannya ketika pandemik COVID-19 melanda negara.

Menurutnya, walaupun ekonomi negara sekarang dalam keadaaan yang stabil, tetapi masih ramai rakyat yang terkesan akibat wabak ini.

“Ia sentiasa menjadi hasrat saya untuk menangani masalah ekonomi dan memelihara pekerjaan untuk rakyat,

“Walaupun ekonomi pulih, banyak yang menderita selama wabak global yang kejam ini,

“Saya mohon maaf atas segala kekurangan saya. Menjadi suatu penghormatan untuk berkhidmat kepada anda,” katanya.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak merupakan kumpulan Ahli Parlimen PKR yang keluar parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Muhyiddin.

Tindakan mereka menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan mencetuskan krisis dalaman PKR.

Muhyiddin Yassin telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri bersama barisan Jemaah Menteri secara rasmi, hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan tersebut dibuat ekoran dirinya yang telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Beliau mengumumkan peletakan jawatan tersebut setelah menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi.

Terdahulu, pihak Istana Negara turut menyatakan Seri Paduka Baginda telah memperkenan peletakan jawatan Muhyiddin dan memilih beliau untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga adanya pelantikan baharu. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!