Home Pertahanan dan Keselamatan 5 kapal asing ditahan di perairan Johor

5 kapal asing ditahan di perairan Johor

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 16 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor telah berjaya menahan 5 buah kapal yang disyaki bersauh tanpa kebenaran dalam tempoh 6 jam di sekitar perairan Johor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, 2 kapal tangki dan sebuah kapal kargo ditahan oleh aset APMM di Zon Maritim Tanjung Sedili melalui Operasi Jangkar Haram, manakala 2 bot barter trade pula ditahan oleh Zon Maritim Batu Pahat.

“5 kapal tersebut disyaki telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook APMM, hari ini.

Beliau berkata, penahanan pertama berlaku sekitar jam 9.47 pagi di kedudukan 13 batu nautika timur Tanjung Balau, Johor.

“Sebuah kapal kargo berdaftar dari Togo dengan dikendalikan 16 kru warga Mesir dan Syria berumur di antara 22 tahun hingga 46 tahun ditahan,

“Kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” tambahnya.

Manakala, kapal tangki berdaftar dari Cayman Islands telah ditahan di kedudukan 13.1 batu nautika timur laut Tanjung Siang yang dikendalikan oleh 27 kru warga Filipina dan Rusia.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka berumur di antara 20 hingga 57 tahun serta mempunyai pengenalan diri yang sah,

“Penahanan ketiga dilakukan terhadap kapal tangki yang berdaftar dari Panama di kedudukan 13.9 batu nautika timur Tanjung Siang, tidak jauh dari kapal tangki kedua ditahan. Kapal tangki ini dikendalikan 25 kru warga Filipina dan Rusia, berumur di antara 23 hingga 63 tahun, juga mempunyai pengenalan diri yang sah,” jelasnya.

Nurul Hizam menambah, Zon Maritim Batu Pahat pula telah menahan 2 bot barter trade sekitar jam 3.35 petang di kedudukan 2.4 baru nautika barat daya Tanjung Tohor.

“Kedua-dua bot tersebut dikendalikan 8 kru warga Indonesia berumur di antara 25 tahun hingga 42 tahun serta mempunyai pengenalan diri yang sah,” ujar Nurul Hizam

Menurutnya, kesemua kapal terbabit ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam masa yang sama, Nurul Hizam berkata, pihaknya akan terus meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan di sekitar kawasan perairan Johor bagi mengekang kapal-kapal yang bersauh secara haram.

“Semua pemilik kapal serta agen-agen perkapalan dinasihatkan agar terus mematuhi dan menghormati kedaulatan undang-undang perairan negara terutama di negeri Johor,” tegasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!