Home PolitikBarisan Nasional UMNO mesti kembali bersatu hati – Khaled Nordin

UMNO mesti kembali bersatu hati – Khaled Nordin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – “UMNO mesti kembali bersatu hati. Kepada semua Ahli Parlimen UMNO di dalam Perikatan Nasional (PN), ruang dan tempat kalian dalam parti tidak pernah hilang,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menerusi hantaran di media sosialnya mengakui keputusan UMNO menarik sokongan dan keluar dari PN memberi kesan langsung kepada kerajaan serta keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri.

“Tetapi UMNO sendiri berhadapan dengan pelbagai cabaran kesan keputusan ini,

“Pastinya keputusan sebesar dan sepenting ini mempunyai risiko dan geloranya. Sudah lumrah politik, pasti ada badai dan gelombangnya. Yang mustahak adalah cara kita berhadapan dengan segala cabaran tersebut,

“Namun seperti yang telah saya tegaskan berulang kali, perjuangan, kekuatan dan pendirian parti adalah lebih besar dan lebih utama dari segala kedudukan dan jawatan mana-mana individu dan personaliti,” katanya.

Menurutnya, UMNO mesti hadir dan berdiri sebagai sebuah ketumbukan orang Melayu yang mempunyai kebersamaan tekad serta kebulatan hati.

“Bukannya berpecah-pecah dan berlainan haluan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang sangat jelas bahawa Muhyiddin dan PN sudah tidak berupaya untuk mempertahankan kerajaan yang ada,” ujarnya.

Tambah Khaled, perjalanan kita semua dalam UMNO telah sama-sama mendewasakan. Persahabatan mesti kekal dan abadi.

“Kita jangan sampai berkerat rotan berpatah arang. Mereka yang berbeza pandangan dengan kita bukan musuh. Ingat gigi dengan lidah, ada masa tergigit jua,

“Yang mesti kita ingat, PN itu tidak lebih dari sekadar ruang untuk UMNO menyumbang kepada bangsa dan negara. Kita menyokongnya apabila wujud kebaikan yang jelas kepada bangsa dan negara. Kita sanggah saat ia gagal dan sudah tidak berada di landasan yang betul,” katanya lagi.

Jelasnya, UMNO tidak hidup hanya untuk hari ini, kerana UMNO melihat masa depan.

“Atas dasar itu, insya-Allah UMNO akan segera meninggalkan episod ini untuk membuka lembaran baharu yang lebih penting,

“Buat masa sekarang, keutamaan UMNO adalah untuk memberikan sentuhan kepada penyelesaian krisis nasional dan kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,

“Untuk melakukan perkara ini, UMNO mesti segera bersatu hati dan mengeratkan semula perpaduannya di semua peringkat sama ada ahli, pemimpin apatah lagi Ahli-ahli Parlimen,

“Kita mesti kembali menjadi parti yang kuat, bersatu dan memfokuskan kepada perkara yang betul,” jelasnya lagi. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!