KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan taman-taman rekreasi awam bagi negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuka bagi tujuan aktiviti riadah berkuatkuasa esok.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebenaran ini dibuat bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutamanya dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental.
“Tetapi ingat, hanya aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti jogging, berbasikal dan bersenam dibenarkan, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sukan dan riadah dalam Fasa 1 PPN,
“Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja. Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain,” katanya.
Beliau berkata, kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah.
“Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna,” ujar Muhyiddin.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab memantau pemantuhan SOP di taman rekreasi awam mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan.
“Ia bagi memastikan dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat,” jelasnya. – airtimes.my