[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=UKPWsmmFAdw[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Tiada seorang Ahli Dewan Rakyat lain yang membuktikan mendapat sokongan majoriti untuk membolehkan Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertua Agong melantiknya sebagai Perdana Menteri baharu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, maka seluruh jemaah Menteri juga perlu meletakkan jawatan mereka dan Perikatan Nasional (PN) akan terbubar.
“Dalam keadaan ini, saya mempunyai 2 pilihan menurut Perlembagaan Persekutuan. Saya boleh memohon perkenan Seri Paduka Baginda untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya atau meletak jawatan,
“Saya patuh kepada Perlembagaan dan akan mengambil jalan yang terhormat untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku,
“Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang sahaja yang berhenti menjadi Perdana Menteri,
“Menurut Perlembagaan Persekutuan, saya hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. Ini bermakna Kerajaan PN yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh,” katanya dalam perutausan Khas Perdana Menteri, Bersama Memulihkan Negara, hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin turut menyatakan beliau perlukan sokongan semua pihak untuk melaksanakan tanggungjawab bawa negara keluar dari krisis.
“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan,
“Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk,
“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?,
“Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya,” tambahnya.-airtimes.my