KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Sebanyak 21,468 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,363,683 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 670 kes berada dalam kategori 3, 4 dan 5.
“Manakala sebanyak 20,798 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu di diagnosa COVID-19,
“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhan, hanya 2,703 kes daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini telah lengkap di vaksinasi iaitu yang telah mendapat vaksinasi dua minggu selepas dos kedua.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 277 kes kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 11,968 kes.
“Kes kematian itu melibatkan 108 di Selangor; Kuala Lumpur (66); Johor (26); Negeri Sembilan (18); Sabah (15); Kedah (14); Melaka (11); Pulau Pinang (6); Kelantan (5), masing-masing 3 kes di Perak dan Terengganu, serta Pahang (2),” ujarnya.
Mengenai pertambahan kes, beliau berkata, Selangor kekal penyumbang utama kes baharu dengan 7,449 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 2,183 kes dan Kedah iaitu 1,807 kes.
“Selain itu, Sabah sebanyak 1,654 kes; Johor (1,485); Pulau Pinang (1,316); Kelantan (1,088); Negeri Sembilan (974); Perak (940); Melaka (723); Sarawak (715); Pahang (572); Terengganu (440); Putrajaya (66); Perlis (50) dan Labuan (6),” jelasnya. – airtimes.my