KOTA SAMARAHAN, 13 Ogos – 4 anggota maut dalam insiden tembakan di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kota Samarahan, Sarawak, awal pagi tadi.
Kejadian tersebut berlaku ketika serah menyerah tugas pengawal.
Perkara ini turut disahkan TUDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
“TUDM mengesahkan berlaku satu insiden kejadian tembakan membabitkan 4 warganya telah berlaku hari ini lebih kurang jam 7.15 pagi di unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching, Sarawak ketika waktu anggota bertugas,
“Pihak TUDM menyerahkan kes kejadian kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Pada masa sama, TUDM menjelaskan pihaknya akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“TUDM menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia selesai,” ujarnya.
Difahamkan , salah seorang anggota TUDM telah menembak 3 rakannya sebelum menembak diri sendiri.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail turut mengesahkan kejadian tembakan tersebut.
“Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan 4 anggota TUDM yang bertugas di Balai Pengawal,
“Pihal Forensik IPK dan Forensik Hospital Umum Sarawak akan hadir ditempat kejadian. Siasatan masih dijalankan,” jelasnya. – airtimes.my