KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan langkah menangani COVID-19 serta pemulihan ekonomi negeri itu dan bukan hal-hal lain berkenaan politik atau kepentingan sendiri.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi hantaran di akaun rasmi Facebooknya memaklumkan, bersedia mengambil tanggungjawab memastikan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diberi keutamaan serta diambil tindakan sewajarnya.
“Selaku ADUN, saya akan pastikan titah nasihat Tuanku diberi keutamaan dan diambil tindakan sewajarnya khususnya berkaitan usaha menangani COVID-19 dan pemulihan ekonomi negeri Johor dan juga negara,
“Segala titah pedoman dan titah nasihat baginda akan dijadikan panduan kepada saya dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, sebagai seorang pemimpin, beliau dan ADUN lain bertanggungjawab untuk membantu rakyat sedaya upaya dengan penuh keikhlasan agar dapat menang bersama-sama dalam perang melawan pandemik COVID-19 ini.
Muhyiddin sebelum itu diterima menghadap oleh Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru bagi mempersembah perkembangan semasa isu dalam negara sebelum baginda berkenan untuk santapan tengah hari bersama.
Perdana Menteri turut menjunjung setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas perkenan Sultan Ibrahim itu.
Ketika merasmikan Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Yang Ke-14 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan berhubung peningkatan kes COVID-19.
Sultan Johor turut menitahkan supaya Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat segera menangguhkan persidangan sekiranya penilaian kesihatan mendapati wujud risiko atau ancaman daripada pandemik itu.
Persidangan DUN Johor yang bermula hari ini, ditangguhkan sehingga Ahad depan (22 Ogos) untuk penilaian risiko COVID-19. -airtimes.my