Home Politik “Ini adalah dewan yang mulia, bukannya dewan sangkar beruk” – Sultan Johor

“Ini adalah dewan yang mulia, bukannya dewan sangkar beruk” – Sultan Johor

by Air Times News Network

ISKANDAR PUTERI, 12 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memberi amaran tidak teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika wakil rakyat terus bertelagah hingga menganggu-gugat negeri serta kerajaan baginda sekarang.

“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.

“Apabila wabak COVID-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih Ahli Dewan yang baharu, selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah baginda.

Sultan Johor bertitah demikian pada majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Baginda turut menasihatkan semua Ahli Dewan supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor.

“Ahli-Ahli Dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan. Awak semua jangan pentingkan diri sendiri. Rakyat di luar sana tengah susah, ada yang kelaparan, ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak COVID-19,

“Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.

“Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk,

“Ingat pesanan saya Tuan Speaker. Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya,” titah baginda lagi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!