KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes kematian pertama akibat COVID-19 yang melibatkan sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang diadakan pada 26 hingga 29 Julai lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian tersebut merupakan salah satu daripada 9 kes baharu yang dikesan berkaitan sidang Khas Parlimen berkenaan.
Ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di bangunan terbabit kini sudah 97 kes.
“Kes kematian yang dinyatakan ini membabitkan pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai sejarah hadir ke Parlimen 26 hingga 29 Julai lalu. Ujian saringan pra Dewan Rakyat yang dijalankan keatasnya pada 23 Julai dan saringan menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 pada 29 Julai lalu adalah negatif,
“Beliau kemudiannya menunjukkan gejala pada 31 Julai dan positif ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) dengan nilai kitaran ambang 14.88,
“Keadaan beliau bertambah teruk dan dimasukkan ke hospital pada 4 Ogos lalu untuk rawatan lanjut. Namun keadaannya amat kritikal dan meninggal dunia pada 9 Ogos,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Dr Noor Hisham berkata, hasil siasatan oleh pihaknya mendapati walaupun kes positif berkenaan tidak mempunyai hubungkait antara satu sama lain kecuali kontak rapat, perkongsian bilik dan kemudahan asas seperti tandas, surau dan ruang makan oleh ramai individu telah memberi risiko kepada penularan jangkitan COVID-19 di Parlimen.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan, 4 kes daripada 9 jangkitan baharu adalah kontak rapat kepada kes positif yang disaring ketika Pra-Dewan Rakyat dan semasa persidangan.
“Kontak rapat bagi kes positif yang disaring ketika Pra-Dewan Rakyat, mereka dilaporkan positif Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) pada 23 Julai lalu. Kes positif ini didapati bergejala ringan dan diberi Perintah Pengawasan dan Kawalan (HSO) di rumah dan kini sudah pulih serta bekerja selepas tamat HSO,
“4 lagi kontak rapat bagi kes positif yang disaring ketika persidangan berkenaan, 1 daripadanya mempunyai nilai kitaran ambang 19.62 manakala yang lain diantara 32.76 hingga 36.07,
“Daripada jumlah kes positif itu, 6 kes sudah lengkap mendapat 2 dos vaksin dan 2 lagi kes adalah kanak-kanak (kontak rapat kes) yang belum layak mendapat vaksin,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 8 sampel kes di Parlimen yang sudah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian genomik dan 5 daripadanya disahkan mempunyai varian Delta, manakala 2 lagi sampel tidak berjaya diproses serta satu sampel masih menunggu keputusan. -airtimes.my
COVID-19: Pegawai tinggi kerajaan mangsa pertama pertama libatkan sidang Parlimen. Kes kematian tersebut merupakan salah satu daripada 9 kes baharu yang dikesan berkaitan sidang Khas Parlimen berkenaan.
#Parlimen #COVID19 #DewanRakyat #AirTimes #semasa