Home PolitikBarisan Nasional Ahli Parlimen UMNO sokong PN perlu insaf, tunai tanggungjawab kepada rakyat – Ahmad Zahid

Ahli Parlimen UMNO sokong PN perlu insaf, tunai tanggungjawab kepada rakyat – Ahmad Zahid

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati Ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menginsafi kewajipan dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, Ahli Parlimen UMNO perlu menjadi wakil kepada rakyat, bukan wakil kepada mereka yang gagal menjaga rakyat.

“Ingatilah juga kewajipan kita sebagai wakil rakyat dari UMNO iaitu sentiasa memihak kepada rakyat, mengutamakan rakyat dan mementingkan rakyat,

“Bukan memihak kepada mereka yang mahu mengekalkan penguasaan ke atas rakyat dan negara walau jelas telah gagal, membelakangi keluhuran Perlembagaan serta Institusi Diraja,

“Saya percaya kini adalah masanya untuk kita membuktikan kepada rakyat bahawa kita sebagai wakil rakyat dari UMNO sanggup berpayah demi berdiri bersama rakyat,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Ahli Parlimen UMNO tidak perlu berdiri bersama kegagalan yang menyaksikan lebih 10,000 rakyat telah kehilangan nyawa dan lebih 19,000 kes jangkitan COVID-19 dilaporkan setiap hari.

“Sehingga menyebabkan Malaysia dianggap antara negara yang gagal membendung penularan pandemik dalam dunia,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut meminta wakil rakyat UMNO agar memahami pesanan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu hubungan antara Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ahli Parlimen UMNO mesti diharmonikan demi kepentingan negara.

“Sebagai ahli Parlimen UMNO kita sewajarnya lebih terkesan dengan kegagalan itu kerana rakyat yang menderita termasuk ahli-ahli sendiri,

“Juga pengundi-pengundi UMNO di kawasan kita. Kita tahu begitu ramai rakyat termasuk ahli dan pengundi UMNO tidak mampu bekerja, menjadi miskin serta muflis,

“Maka sudah tiba masa kita sebagai ahli Parlimen UMNO menunjukkan dan membuktikan kepada rakyat bahawa kita berjuang untuk mereka,” jelasnya.

Tambahnya, perkara ini perlu dibuktikan dengan mudah iaitu kesemua Ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong Muhyiddin perlu meninggalkan kerajaan PN dan kembali kepada landasan perjuangan UMNO yang sebenar.

“Saya mendoakan semua yang berkenaan melepasi ujian jawatan, kedudukan dan pesona yang sedang mereka lalui ketika ini,” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!