Home Semasa Risiko terlalu tinggi jika benarkan semua golongan bujang rentas negeri – Hishamuddin

Risiko terlalu tinggi jika benarkan semua golongan bujang rentas negeri – Hishamuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Individu bujang yang sudah menerima vaksinasi lengkap masih tidak dibenarkan untuk merentas negeri untuk berjumpa ibu bapa masing-masing.

Menteri Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan, ini kerana ia akan membabitkan jumlah ramai yang dikhuatiri boleh menyumbang peningkatan kes COVID-19.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas penilaian risiko jangkitan semasa pada peringkat awal pemberian kelonggaran yang diumumkan.

Setakat ini, beliau berkata, hanya ibu bapa yang sudah menerima vaksinasi lengkap, dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak berusia 18 tahun ke bawah, berkuat kuasa esok.

“Saya tahu bahawa ini soalan kekeluargaan dan merupakan persoalan yang bukan mudah untuk diputuskan tetapi apabila kita lihat risikonya bagi mereka yang bujang ini untuk merentas negeri, jumlahnya begitu besar,

“Untuk peringkat awal ini, kita hanya membenarkan ibu bapa yang mempunyai anak dibawah 18 tahun ke bawah yang tinggal berasingan,

“Kalau ini dapat dijayakan dan jumlah yang kita tengok keputusan ini tidak membuat jumlah COVID-19 meningkat, tidak ada sebab kerajaan akan memperluaskan kebenaran itu,” katanya dalam sidang media secara dalam talian, hari ini.

Menurutnya, sekiranya golongan bujang ini dibenarkan untuk aktiviti merentas negeri atau daerah, jumlahnya begitu besar dan ia terdedah pelbagai risiko yang tinggi terpaksa dipikirkan.

“Itu mungkin akan menimbulkan masalah yang lain kalau tidak ada disiplin, tidak patuh SOP, kita tidak mampu memantau dan juga kuat kuasa apa yang telah diumumkan,” tambahnya.

Hishamuddin berkata, keputusan membenarkan ibu bapa yang telah lama terpisah dengan anak-anak di bawah usia 18 tahun ini bersandarkan kepada kesejahteraan kesihatan mental individu.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan mana-mana pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing bermula Selasa ini (10 Ogos).

Selain pasangan suami isteri, ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap juga dibenarkan berbuat demikian untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun. -airitmes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!