Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS, UMNO, PPBM perlu bersatu – Abdul Hadi

PAS, UMNO, PPBM perlu bersatu – Abdul Hadi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Tiga parti teras Melayu-Islam dan Bumiputera di negara ini, PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu bersatu dengan mengambil kira kepelbagaian masyarakat di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penyatuan ia bertujuan bagi memimpin perubahan dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN) disertakan pendekatan masyarakat majmuk yang mewujudkan Perikatan Nasional (PN) bersama prinsip yang anjal bagi melakukan perubahan positif.

Beliau berkata, ia tidak akan menghapuskan rupa bangsa dan budaya masing-masing yang berkonsepkan tiada paksaan beragama dan adil kepada semua.

“Bersama konsep Islam adil kepada semua, ia telah membawa mesej yang menyatukan rakyat dalam masyarakat majmuk di kala Islam dilaksanakan dengan sempurna,
“Inilah kejayaan yang dimulakan dengan hijrah Rasulullah SAW yang bersejarah itu. Inilah iktibar yang wajib dijadikan teladan oleh umat Islam, ketika kegagalan teori dan ideologi negara di seluruh dunia pada hari ini,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.

Abdul Hadi berkata, pendekatan berdasarkan acuan hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah ini perlu diperkenalkan semula di Malaysia yang bermasyarakat majmuk.

Beliau berkata, semua pihak harus mengambil pengajaran dari penjajahan ke atas Tanah Melayu, di mana ketika itu penjajah memaksa untuk mengikut strategi menggunakan rakyat tanah jajahan daripada pelbagai agama dan bangsa supaya menjadi masalah bagi kepentingan politik dan ekonomi mereka.

“Khususnya agenda pecah dan perintah di mana kesannya berpanjangan sehingga kini. Sehinggalah negara kita tetap bermasalah, walaupun dikatakan sudah mengecapi kemerdekaan dan penjajah asing itu sudah pulang ke tanah air mereka,

“Justeru, kita perlu menghargai pemimpin pelbagai kaum yang sama-sama menentang penjajah, walaupun berbeza agama dan bangsa serta berpecah dari sudut kefahaman dan anutan mereka,

“Akan tetapi, semua menanggung nasib sama-sama dijajah dan masing-masing dipergunakan untuk kepentingan penjajah,” tambahnya.

Menurutnya, asas yang kukuh diletakkan dalam perlembagaan negara ketika mencapai kemerdekaan, apabila ditegaskan Islam sebagai agama bagi persekutuan, serta mengiktiraf hak beragama bagi penganut agama lain dan konsep demokrasi.

“Manakala konsep Raja Berperlembagaan menjadi tonggak yang boleh dilakukan tindakan susulan bagi memperkenalkan acuan perpaduan dalam masyarakat majmuk,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!