Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tubuh pasukan GKV TF, Tentera Darat aturgerak 1,000 anggota bantu KKM

Tubuh pasukan GKV TF, Tentera Darat aturgerak 1,000 anggota bantu KKM

by Nurulhuda

SERDANG, 7 Ogos – Seramai 1,000 orang pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) diaturgerakkan bagi membantu dan menyokong sistem kesihatan awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merawat kes-kes COVID-19 yang kritikal ketika ini.

TDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, pasukan yang dinamakan Greater Klang Valley Task Force (GKV STF) akan ditugaskan membantu petugas kesihatan di hospital-hospital Lembah Klang serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Malaysia Agro Exposition Park Serdang (PKRC MAEPS).

Task force ini akan memberikan penumpuan ke atas kes-kes di kawasan Lembah Klang termasuk utara Negeri Sembilan, barat Pahang dan juga selatan Perak.

“Situasi penularan pandemik COVID-19 yang semakin meruncing menyebabkan kemampuan sistem kesihatan awam KKM bagi merawat kes-kes COVID-19 yang kritikal, semakin terjejas,

“Bagi mengatasi permasalahan tersebut, KKM mengambil tindakan drastik dengan mewujudkan task force yang dikenali sebagai ‘Greater Klang Valley Special Task Force’ (GKV STF), yang berfungsi untuk melaksanakan pelan tindakan yang lebih efektif, cepat dan menyeluruh ke atas sistem perkhidmatan kesihatan awam sedia ada,

“Bagi membantu dan menyokong pelan tindakan pasukan GKV STF, TDM telah menubuhkan satu pasukan khas bagi melaksanakan tugas membantu petugas kesihatan di hospital-hospital Lembah Klang dan PKRC MAEPS yang dinamakan sebagai ‘Greater Klang Valley Task Force’ (GKV TF),” jelas TDM.

Menurut TDM, pasukan ini akan beroperasi dari tiga Forward Operation Base (FOB) iaitu MAEPS, Serdang; Kem Wardieburn, Setapak dan Kem Sungai Buloh, Sungai Buloh.

“Dari keseluruhan jumlah tersebut seramai 750 orang akan terlibat sebagai petugas utama manakala bakinya seramai 250 orang adalah kumpulan sokongan,

“Kesemua petugas utama ini pula dibahagikan kepada 3 penugasan utama iaitu ‘Oxygen Carrier Team’ (OSCAR) yang ditempatkan di MAEPS, manakala ‘Rapid Resupply Team’ (RRT) dan ‘Body Management Team’ (BMT) pula akan ditugaskan di MAEPS dan 67 buah hospital di sekitar Lembah Klang,” tambahnya.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, berkesempatan untuk mengiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Affendi Buang TUDM, untuk meninjau pengoperasian pasukan GKV TF ini yang dikendalikan sepenuhnya oleh Tentera Darat, bertempat di PKRC MAEPS, Serdang, semalam.

“Aturgerak anggota dan aset TDM bagi melaksanakan operasi sebegini adalah untuk memastikan keselamatan serta keamanan dalam kalangan rakyat yang terkesan oleh bencana,

“Selain itu, ia sejajar dengan Tonggak PTD iaitu ‘Kelangsungan Misi dan Kesiagaan’ dan ‘Peningkatan Hubungan Tentera Darat dengan Awam’,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!