JOHOR BAHRU, 5 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekali lagi menzahirkan kekecewaannya terhadap kadar vaksinasi COVID-19 di negeri berkenaan yang msaih rendah.
Menerusi hantaran di media sosialnya semalam, baginda mengingatkan bahawa nyawa manusia tidak boleh dijual beli.
“Saya sebagai Sultan Johor bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat saya. Nyawa tidak boleh dijual beli. Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya, terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan COVID-19, dan yang telah meninggal dunia,
“Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes-kes varian Delta. Strateginya amat jelas, iaitu kita mesti memvaksinkan seramai mungkin populasi negeri kita dengan kadar secepat yang mungkin,
“Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat kita sendiri,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah baginda bersama anakandanya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.
Sehubungan itu, baginda amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di Johor, malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.
Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin -19 (JKJAV), 45.1 peratus penduduk dewasa Johor telah menerima satu dos pada 3 Ogos sementara 17.8 peratus sudah diberi vaksin sepenuhnya.
Sehingga semalam, seramai 483,869 orang telah lengkap menerima kedua-dua dos di negeri berkenaan. -airtimes.my