Home PolitikPakatan Harapan Isu Majoriti: Muhyiddin tidak bercakap benar, kelirukan Agong – PH

Isu Majoriti: Muhyiddin tidak bercakap benar, kelirukan Agong – PH

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyelar tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak bercakap benar dan telah mengelirukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai isu majoriti.

PH dalam satu kenyataan bersama berkata, tindakan Muhyiddin adalah satu penderhakaan tertinggi terhadap Ketua Utama Negara dan ia tidak patut dimaafkan.

“Setelah pimpinan PH membuat perkiraan yang teliti bersama rakan-rakan dari parti-parti pembangkang dan semua yang tidak menyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, ternyata beliau telah tidak bercakap benar dan telah mengelirukan Seri Paduka Baginda sewaktu sesi menghadap semalam,

“Ini adalah satu tindakan penderhakaan tertinggi terhadap Ketua Utama Negara dan tidak patut dimaafkan,” katanya.

Kenyataan bersama tersebut dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.

Menurut mereka, sokongan majoriti ini boleh disahkan tanpa sebarang keraguan dengan mengadakan sidang khas Parlimen dengan satu urusan sahaja, iaitu membentang, membahas dan memutuskan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

“Kami berpandangan mesti ada tindakan tegas terhadap penipuan yang dilakukan di peringkat tertinggi sehingga sanggup tidak bercakap benar dan mengelirukan Seri Paduka Baginda,

“Tindakan menangguhkan undi tidak percaya sehingga bulan September adalah amat tidak wajar. Isu sokongan terhadap Muhyiddin dan kestabilan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti diputuskan sekarang,” ujar mereka.

Tegas mereka, selagi mana ia ditangguhkan, selagi itulah isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan.

“Raja-Raja Pemerintah telah bertitah pada 16 Jun yang lalu betapa pentingnya kerajaan itu stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat,

“Rakyat yang terus tertekan akibat masalah ekonomi serta pandemik COVID-19, termasuk jumlah kes dan kematian yang begitu tinggi setiap hari, mewajibkan kita menyelesaikan masalah ini sekarang,” jelas mereka.

Sementara itu, Majlis Presiden PH mengulangi pendirian serta semua parti dalam blok Pembangkang termasuk Ahli-Ahli Parlimen yang telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin untuk mendesak diadakan sidang khas Parlimen pada Isnin, 9 Ogos untuk memutuskan isu ini.

“Kami turut memohon agar semua penjawat awam terutamanya badan-badan penguatkuasa terus bertindak secara profesional, neutral, dan tidak sesekali mengikut selera politik parti pemerintah sekarang untuk menekan atau mengugut Ahli-Ahli Parlimen khususnya dalam hal sokongan terhadap Muhyiddin,” tegas mereka. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!